Adat Majlis Perkahwinan Melayu - Memilih Menantu dan Upacara Selanjutnya
Di masa silam, bersanding adalah satu aspek perjalanan hidup yang dijalankan oleh ibu bapa. Merekalah yang memilih teman hidup bagi anak masing-masing. Biasanya apabila ibu bapa merasai anak lelaki sudah sampai masa untuk berkahwin, mereka mula merisik untuk memilih gadis yang sesuai. Pada umumnya, ibu bapa meminta saudara mara mengesan dan mencari gadis sesuai dikahwinkan dengan anak lelaki mereka.Dalam memilih menantu, banyak perkara yang ibu bapa memberi perhatian dan pertimbangan. Gadis yang dipilih hendaklah dari keluarga yang secocok dengan mereka. Perangai serta tingkah laku mesti baik, ikhlas dan sempurna. Begitu juga daripada aspek-aspek pengetahuan agama dan bidang pelajaran, jika gadis itu bersekolah. Apabila berbincang dengan saudara yang memilih gadis itu, banyak perkara lain yang dibangkitkan. Akhirnya, setelah berpuas hati dengan gadis itu barulah mula dijalankan kerja-kerja untuk meminang. Kerja-kerja meminang diwakilkan oleh ibu bapa pihak lelaki kepada sudara maranya. Apabila peminangan dipersetujui ada yang menghantar tanda sebagai mengesahkan peminangan. Tanda yang biasa dihantar ialah sebentuk cincin emas bersama dengan hadiah lain seperti kain dan kuih-muih. Dengan adanya 'tanda' itu, si gadis itu dianggap sudah bertunang. Sewaktu menghantar tanda, ditetapkan tarikh menghantar belanja dan akad nikah. Ketika menghantar belanja, pihak lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dan kedua-dua pihak akan menyampaikan serta menerima hantaran yang ditetapkan. Dahulu wang hantaran digubah dalam pelbagai bentuk atau dibungkus dengan menggunakan kain baldu atau kain yang bersulam dengan begitu indah sekali. Iringan-iringan lain termasuk sirih junjung, bunga rampai dan hadiah-hadiah seperti pakaian, alat solek, buah-buahan dan pemanis seperti kuih-muih. Cara menjemput perkahwinan pada masa dahulu bukanlah melalui kad jemputan tetapi pihak ibu bapa atau saudara mara pengantin pergi dari rumah ke rumah untuk menjemput ke majlis perkahwinan. Mereka membawa tepak sirih dan terus menjemput serta meminta saudara mara dan sahabat handai datang ke majlis.
Kemuncak Upacara
Upacara akad nikah diadakan di rumah pengantin permpuan atau pun di masjid. Pada majlis itu barang-barang hantaran diletakkan di depan pengantin lelaki. Semasa upacara akad nikah, hantaran diserahkan kepada wakil pengantin perempuan. Pengantin lelaki sewaktu akad nikah duduk di atas tikar bersila berhadapan dengan imam. Imam mambacakan khutbah nikah, meminta pengantin lelaki membaca lafaz nikah dan mendaftarkan perkahwinan itu. Seterusnya pengantin lelaki dibawa berjumpa pengantin perempuan di dalam bilik pengantin untuk menyerahkan wang mas kahwin kepadanya. Untuk melakukan upacara membatalkan air sembahyang, pengantin lelaki bersalam dengan pengantin perempuan atau menyentuh dahinya. Upacara berinai diadakan di rumah pengantin perempuan pada waktu malam didahului pengantin lelaki duduk di atas pelamin. Ahli keluarga bergilir-gilir menjalankan upacara berinai. Selepas itu pengantin perempuan naik ke pelamin setelah pengantin lelaki keluar dari pelamin itu dan upacara berinai dijalankan.
Kemuncak bagi majlis perkahwinan ialah majlis bersanding yang diadakan di rumah pengantin perempuan pada mulanya. Pelamin diserikan dengan bunga-bunga hidup, kain-kain yang cantik dan lampu-lampu yang berwarna-warni. Pengantin perempuan duduk di sebelah kiri pengantin lelaki. Mereka memakai pakaian yang cantik tetapi tidak sama jenisnya. Mereka bersanding selama 15 atau 20 minit dengan direnjis tepung tawar oleh sanak saudara. Selepas doa selamat dibacakan barulah selesai majlis bersanding dan mereka masuk ke bilik pengantin. Disitulah mereka diberi makanan dan makan bersama ahli-ahli keluarga. Keesokan hari diadakan majlis bersanding di rumah pengantin lelaki. Itulah cara tradisional majlis perkahwinan bangsa kita.
No comments:
Post a Comment